Friday, August 31, 2012

Kembara Laos - Bhg 3

Pagi terakhir di Vang Vieng.

Macam semalam, sarapan yang sama: baguette dan telur goreng. Selepas pulangkan motorsikal sewa dan check-out, kami bergerak ke stesen bas untuk kembali ke Vientiane.

Kali ini pilihan kami adalah tepat; amik bas pelancong pulak. Minibus actually. Penuh dengan pelancong Caucasian dan pelancong Korea. Suasana lebih selesa dan lebih laju. Dijadualkan bertolak jam 10.00 pagi. Harga sama seperti bas ekspres rakyat tempatan; 60,000 Kip seorang.

Kami tiba di Vientiane 3 jam setengah kemudian. Baru la efisyen! :p Tapi agak aneh bila kami diturunkan bukan di stesen bas, tapi berdekatan Stadium Chao Anouvong. Tak mengapa la, pasal hotel yang ditempah pun dekat je so kami jalan kaki ke Inter City Boutique Hotel

Aku memilih hotel ni atas beberapa sebab iaitu lokasi 50 meter dari depan sungai Mekong, terdapat restoran halal di sebelah hotel dan Vientiane Night Market juga di hadapan hotel.

Selepas check-in dan berehat sebentar, kami meneruskan agenda meneroka Vientiane. Agenda pertama: pergi pejabat pos untuk beli setem poskad cenderahati :D

Agenda kedua: Pha That Luang. Sebuah tokong emas sebagai simbol nasional negara Laos.





Ada dataran yang agak luas dihadapan Pha That Luang, mengingatkan aku kepada Dataran Tianamen di Beijing. Tapi dataran ini tidak berturap, agak berdebu dan hanya penuh bila festival That Luang diadakan. 

Sempat juga singgah sebentar di Ban Nongbone atau Monumen Revolusi Lao.






Agenda ketiga: Patuxay atau Gerbang Kemenangan Rakyat Laos.





Tersergam megah di tengah-tengah Patuxay Park, asalnya kerajaan Amerika memberi bantuan simen dan kewangan kepada kerajaan Laos untuk membina lapangan terbang baru. Namun Laos memandai buat Patuxay sebagai lambang kemenangan dan kemerdekaan dari Perancis. Agak ironik bila Patuxay dibina berasaskan Arc De Triomphe di Paris. 

Mungkin Laos tak faham maksud ironi :p

Agenda keempat: That Dam atau Black Stupa.






Lagenda Laos menyatakan dalam That Dam ni ada naga berkepala tujuh yang melindungi rakyat Laos dari serangan tentera Siam pada tahun 1827. Kononnya la...

Dari That Dam kami menuju ke Fathima Restaurant yang menghidangkan masakan halal India dan Malaysia. Rasanya inilah satu-satunya restoran hidangan Malaysia di Vientiane. 

Sedap!





Seterusnya kami melawat Namphou Fountain, Masjid Jamia Vientiane dan Tugu Raja Anouvong di Dataran Anouvong, Mekong Riverside.


Di Dataran ini juga ada aerobik beramai-ramai. Agaknya acara harian kot.





Menikmati sunset di Mekong Riverside sebelum ke night market mencari barangan cenderahati dan t-shirt sebagai kenangan. Harga macam biasa, kena tawar-menawar seagresif mungkin :p


Peniaga-peniaga disini tak seagresif peniaga di Vietnam atau Thailand. Mereka akan menawar, kalau kita tak mahu, mereka tidak memaksa. Sangat berbeza dengan peniaga di Vietnam atau Thailand.



Habis meneroka Vientiane, kami kembali ke hotel. Rehat dan beradu awal. Esok penerbangan awal pagi kembali ke Kuala Lumpur.

Selamat tinggal Laos. Thanks for the memories :)

Thursday, August 30, 2012

Kembara Laos - Bhg 2



Sabaidee! (Hello dalam bahasa Lao)

Pagi di Vang Vieng agak magikal. Penuh dengan kabus, kicauan burung dan bunyi aliran air sungai. Kalau ikut hati memang taknak bangkit dari katil. Keempukan bantal dan selimut sangat la menggoda... tapi kembara mesti diteruskan! :p

Sarapan simple je pagi ni, telur goreng dan sebuku baguette dengan mentega. Sewa motosikal berharga 70,000 Kip untuk 24 jam. Berbekalkan peta lukisan tangan yang boleh diterima akal, kami bertolak ke destinasi pertama. 




Pak Khoum Cave dan Blue Lagoon. Terletak kira-kira 20 minit di sebelah timur dari pekan Vang Vieng, tempat ni tak susah nak dicari, tapi banyak tempat lain yang turut "mendakwa" sebagai Blue Lagoon. Cari saja signboard yang nampak macam rasmi, bukan tulisan tangan :-)





Jalan menuju ke sini ialah jalan tanah merah, melalui kampung-kampung di celah gunung ganang. Terasa macam nak buat video klip balik raya je hehehe.... Tapi pemandangan dan suasana disini memang best. Segar dan menyegarkan!

Blue Lagoon tak sebesar yang disangka. Oleh kerana malam tadi hujan, maka air tak betul-betul biru tapi biru kehijauan. Boleh la tu. Lepak sebentar sini. Gua dikatakan tengah licin akibat hujan, jadi sebagai langkah keselamatan kami tak masuk. Safety first :)





Destinasi seterusnya; Kaeng Nyui Waterfall. Terletak 5 km dari pekan Vang Vieng disebelah barat. 5km memang tak jauh mana, tapi keadaan jalan yang sangat teruk dan berlopak & berlubang membuat perjalanan terasa agak lama. Bila sampai, terus ke air terjun dan melepaskan penat. Sempat tidur sekejap :D




Cara piknik keluarga Laos tak jauh beza dengan keluarga Melayu. Bila piknik pasti akan bawa tikar getah, bekalan makanan & minuman, set BBQ dan tuala secukupnya.


Kat sini juga ada menjual tikus panggang, kelawar panggang dan telur rebus on-a-stick. Selain itu ada juga ikan panggang bersalut tepung dan ntah apa daging yang tak berapa meyakinkan. Berselera? 







Tengahari menjelma, perut pun lapar. So kami kembali ke pekan Vang Vieng dan memilih restoran yang menayang siri Friends. Nampaknya sangat popular disini. Hampir semua restoran menayang Friends. Ada jua yang menayang South Park dan Family Guy.

Selesai lunch, kami mengelilingi pekan Vang Vieng dan kawasan persekitaran. Melihat keindahan alam dan meneroka Sungai Nam Song. Disini jua tempat aktiviti tubing yang amat popular. Meriah dengan bar tepi sungai yang memainkan muzik rancak sepanjang hari.





Untuk dinner, kami kembali ke restoran tadi. Makan sambil layan Friends lagi. Dah lama tak layan Friends boleh sangkut balik hehehe.

Layan punya layan sampai la malam. Rehat saja, esok kami akan kembali ke Vientiane!

Wednesday, August 29, 2012

Kembara Laos - Bhg 1




Sabtu 25 Ogos lepas aku dan Abby terbang ke Laos. Selain daripada salah satu negara dalam Misi Asia Tenggara aku, aku juga nak ambil kesempatan cuti Hari Raya untuk relaks dan rawat badan & minda (kononnya).

Penerbangan AirAsia dah ditempah 2 bulan lebih awal beserta penginapan sekali. Delay 10 minit, dan kami pun berlepas ke Vientiane, ibu negara Laos.

Mendarat di Wattay International Airport pada pukul 9.40 pagi waktu Laos. Imigresen mereka amat la perlahan, nasib baik tak terlalu ramai orang. Kemudian kami mendapatkan matawang Kip yang hanya wujud di Laos sahaja. Tidak diterima di negara luar. 10,000 Kip = RM 3.80.

Dari airport kami terus tahan tuk-tuk kat luar dan terus ke Northern Bus Station untuk perjalanan seterusnya. Laos ada tiga stesen bas utama. Satu untuk perkhidmatan bas ke utara, satu untuk wilayah tengah dan satu untuk wilayah selatan. Kenapa la diorang tak centralise je?






Cadangan asal aku adalah untuk melepak di Luang Prabang dan Vientiane memandangkan status Luang Prabang sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, tapi kena naik bas 10 jam dari Vientiane. Terlalu lama dan keadaan jalan di Laos amatlah daif. Alternatif kepada jalan darat iaitu terbang ke Luang Prabang pula amat mahal, jadi aku tukar destinasi ke Vang Vieng, sebuah destinasi tumpuan backpackers di kawasan pergunungan. 

Menaiki bas ke Vang Vieng ada banyak pilihan memandangkan ianya terletak di antara perjalanan dari Vientiane ke mana-mana wilayah utara. Tiket bas berharga 60,000 Kip (RM22.80). Jadi kami memilih bas yang terawal (jam 11.00 pagi) untuk ke Vang Vieng.

Tapi nampaknya kami salah memilih bas. Patut la tiada pelancong asing dalam bas tu. Bas yang kami naiki ialah bas ekspres untuk rakyat tempatan. Jadi penuh la dengan orang Laos, beserta tong minyak, bungkusan pakaian, dan sekotak ayam hidup!

"Lebuhraya" di Laos adalah jauh lebih daif dari jalan kampung di Malaysia. Jalan yang pecah, retak, berlubang dan hampir separuh adalah jalan tanah merah. Insaf sekejap dan terus bersyukur dengan jalanraya Malaysia. 

Menurut kajian dan pembacaan aku, perjalanan bas dari Vientiane ke Vang Vieng sepatutnya 3 jam setengah. Agaknya itu bas pelancong kot, pasal bas tempatan yang aku naiki ambil masa 5 jam! Penuh dengan perhentian membeli baguette, kencing di tepi semak, beli makanan, isi minyak, dan beli makanan lagi. Bontot kematu dah T_T





Akhirnya sampai jua di Vang Vieng pada pukul 4.00 petang selepas perjalanan bas yang menginsafkan. Dari perhentian kami terus ke guesthouse. Pekan Vang Vieng adalah sangat kecil, boleh jalan kaki je untuk cover seluruh pekan. Check-in di Popular View Guesthouse, dan menikmati makanan di Restoran Nazim, salah satu daripada restoran halal di sini.

Vang Vieng terletak di kawasan pergunungan di antara Vientiane dan Luang Prabang. Cuaca disini agak sejuk terutama di waktu pagi. Tapi petang panas macam kat Malaysia gak. Pemandangan memang sangat cantik. 




Pemandangan dari bilik memang cantik. Memandangkan letih perjalanan masih bersisa, jadi kami berehat di bilik sambil layan pemandangan gunung yang awesome. Malam kami pekena pizza di Riverview Restaurant dan berjalan sekitar pekan Vang Vieng. 

Homemade pizza disini amat enak. Rotinya lembut, tak keras atau liat macam pizza komersial kat Malaysia.



Malam ini tidur awal untuk kembara esok hari!

Friday, August 24, 2012