Wednesday, July 1, 2009

Mari Mengamalkan Ilmu Hitam

Tahukah anda yang amalan perbuatan bomoh dan sihir yang lain mampu meningkatkan taraf hidup dan kesihatan manusia?

Hantu raya, contohnya, boleh digunakan untuk menggantikan surat sakit atau MC. Buat apa ambik MC dan bayar sehingga 50 ringgit, walhal hantu raya peliharaan anda sanggup pergi kerja bagi pihak tuannya?

Pada masa dahulu, hantu raya menjaga kebun. Zaman moden ini menampakkan hantu-hantu raya berupaya mengendalikan jawatan dan pekerjaan tahap tertinggi. Kalau dulu banyak orang mengeluh kerana tiada masa untuk keluarga, maka hantu raya merupakan penyelesaian terbaik.

"Dengan menggunakan hantu raya saya, saya mempunyai banyak masa untuk diluangkan bersama anak saya," kata Tan Sri Shukor. "Anak saya tidak lagi bodoh dalam matapelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam Bahasa Inggeris kerana hanya bermain Pokemon setiap hari."

Hantu raya Tan Sri Shukor yang bernama Momo juga bersetuju dengan tindakan tuannya.

"Saya mempunyai ijazah sarjana dalam pengurusan," kata hantu raya tersebut. "Peluang yang diberikan oleh Tan Sri memastikan saya mendapat pengalaman dan latihan di tempat kerja sebagai persediaan untuk pasaran kerja yang lebih mencabar."

Itu hanya salah satu dari kegunaan ilmu hitam.

Tertekan? Kesihatan minda anda terancam? Ingin bercuti? Lupakan Air Asia atau Matta Fair. Gunakan skill rasuk anda.

Pilih mana-mana pramugari pilihan hati, dan rasuk ke dalam badannya. Kemudian, keluar di destinasi pilihan. Tanpa perlukan passport, tukaran mata wang asing mahupun wang yang banyak.

Encik Fariq menjelaskan; "Tertekan di tempat kerja, saya keluar bersiar-siar di Tugu Negara. Di situ saya nampak seorang pramugari ni. Body dia best. Jadi saya suruh jin saya rasuk dia. Lepas tu, saya tertidur dengan pramugari tersebut," kata Encik Fariq. "Apabila saya tersedar, saya dapati saya berada di Perancis, dalam keadaan berbogel."

Gunakanlah kaedah rasuk untuk memastikan minda anda mendapat rehat yang cukup.

Akhir sekali, perbomohan dan sihir juga menolong mendapatkan gizi seimbang. Selain memelihara jin, Encik Fariq juga memelihara toyol.

Pemeliharaan dan pengembalaan toyol memastikan yang sesetengah kelompok masyarakat yang kurang bernasib baik, masih dapat mencari nafkah pendapatan pada masa kegawatan ekonomi ini.

Wang itu boleh digunakan untuk membeli beras, daging, ayam, ikan, telur, mentega, kekacang, sayur dan sebagainya.

"Setelah menggunakan toyol, pendapatan kami sekeluarga melonjak ke aras RM20,000 sebulan," kata Encik Fariq. "Saya sangat berpuas hati dengan khidmat toyol saya"

Begitulah serba sedikit khasiat perbomohan dan sihir dalam kesihatan. Diharap agar institusi perbomohan negara meneruskan kajian aplikasi perbomohan dan sihir dalam bidang lain pula demi mencapai Wawasan 2020.

No comments: