Thursday, March 19, 2009

Kenangan Lalu Mengusik Jiwa

Di suatu masa tidak lama dahulu di sebuah bukit. Di tengah-tengah gerombolan manusia yang pantas berjalan ditengah hari sambil berpeluh-peluh, aku melayan perasaan. Memang panas hari itu, peluh yang meleleh di dahi aku lap dengan hankerchief. MP3 player aku kuat mendendang lagu-lagu di celah telinga. Aku tak hiraukan sangat persekitaran yang memang kurang selesa ketika itu.

Aku sampai di sebuah bangunan yang berhawa dingin. Ahh... lega rasanya. Pantas aku duduk di celah-celah gerombolan manusia berpakaian gelap itu. Aku melunjur kaki, melepaskan lelah dan menikmati udara dingin. Aku duduk diam.

Tapi diam aku bukan untuk tidur. Diam aku bukan untuk berkhayal. Diam aku bukan untuk memikir masalah.

Aku diam untuk memerhati.

Nun tidak jauh dari situ, aku perasan dua orang yang aku kenal. Seorang lelaki dan seorang gadis. Mereka duduk berdekatan. Saling berbalas senyuman dan kata-kata.

Yang lelaki, memang bergaya. Amat segak sekali perwatakannya. Sesekali dia memasukkan tangan ke dalam poket sewaktu berbicara dengan sang gadis. Tanda dia gemuruh. Namun senyuman tidak lekang dari bibirnya. Matanya tidak lari dari memandang ke wajah sang gadis. Pandangan yang tajam menikam. Mungkinkah sang gadis terasa? Sesekali bila dia berdiri, gerak badannya memberi isyarat jelas. Sering mendada dan sesekali mencekak pinggang. Ternyata dia ingin menonjolkan sifat kelelakiannya pada sang gadis. Tangan kanannya menyisir rambut yang kurang rapi, kemudian kolar dan lipatan lengan kemejanya dikemaskan lagi. Sesekali apabila membicara sesuatu yang lucu, mereka tertawa bersama. Tapi tawa yang terkawal. Lelaki itu menutup mulutnya bila tertawa. Tentu sekali petanda dia sangat menyenangi kehadiran sang gadis.

Si gadis pula mengikut rentak sang lelaki. Matanya tidak terlepas memandang ke wajah sang lelaki. Dia juga ikut tersenyum seribu makna. Makna yang hanya mereka fahami. Sesekali bila sang lelaki memandang ke arah lain, si gadis tetap merenung wajahnya. Dan menoleh bila sang lelaki memandangnya semula. Apabila si lelaki mengusik, senyuman terpancar di wajah dan diserikan lagi dengan pipi yang kemerah-merahan. Si gadis nampak begitu manis sekali! Bibir yang merah turut bertambah merah, dan sedikit terbuka seolah-olah ingin memberitahu sesuatu. Tapi apa yang terbuku di hati tidak terucap di bibir. Barangkali dia malu. Badannya meliuk-liuk resah. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri. Pena di jari dimain-mainkan, tubuhnya membongkok sedikit ke arah si lelaki. Aksinya kelihatan manja.

Tiba-tiba muncul seorang rakan. Mahu mengambil gambar beramai-ramai. Ramai yang sudah berdiri dan bersedia untuk diambil gambar kenangan. Pantas sang lelaki dan si gadis turut berdiri jua. Namun mereka tetap bersebelahan. Tidak rela berjauhan.

Petang itu gerombolan manusia berpakaian gelap itu keluar dari bangunan tersebut untuk aktiviti lain. Sang lelaki dan si gadis berjalan bersama, beriringan keluar dan masih dengan senyuman dan bual bicara mesra mereka.

Aku tersenyum dari jauh.

Mereka boleh menafi, mereka boleh mempertikai.

Bahasa badan memang tidak pernah berbohong.

No comments: