Thursday, February 12, 2009

Ahli Mesyuarat

Aku baru habis meeting tadi.

Meeting yang sebenarnya boleh selesai satu jam dijadikan 3 jam kerana telatah-telatah yang buat aku mula berangan dan melukis benda-benda mengarut. Sementara aku menconteng buku nota, aku terfikir gak macamana karekter orang-orang dalam meeting kalau dijadikan haiwan. Sesekali aku tersenyum sorang-sorang walaupun isi mesyuarat tu penuh dengan hal-hal yang serius nak mampus.

Kalau korang selalu pergi meeting, mesti korang perasan ciri-ciri diorang ni semua. Setakat meeting aku tadi, aku berjaya tafsirkan beberapa karekter. Sila baca dan bayangkan;


1. Murai
Ahli mesyuarat ini adalah yang paling banyak bercakap. Tanya sepatah, dia akan jawab 18 perenggan tak termasuk mukadimah dan kesimpulan. Sering memasukkan perkara-perkara tak relevan seperti pengalaman masa muda, aktiviti masa percutian dan kisah malam pertama. Lebih buruk lagi kalau dia menjadi chairperson, memang berdarah telinga ahli mesyuarat lain mendengar bebelan dan memori kenangan lalu dia. Kadang-kadang selepas habis berkicau, seorang pun tak pasti sama ada dia menjawab soalan atau tidak kerana dek kebosanan melampau. Senang cerita, dia adalah gila mikrofon.

2. Belatuk
Ahli mesyuarat ini adalah pelengkap kepada ahli mesyuarat murai. Sifatnya adalah untuk mengangguk dan mengiyakan apa sahaja yang orang lain perkatakan. Tak pernah membantah, dan amat jarang mengeluarkan pendapat. Biasanya pendiam dan sering merenung orang yang sedang bercakap sebelum mengangguk dan kembali merenung. Anggukannya sama ada bermakna dia menumpu sepenuh perhatian dan bersetuju ataupun dia sedang berangan dan khayal kerana bosan.

3. Pipit
Sesuai dengan sifat pipit yang comel dan bersuara halus, dia juga serupa. Ahli mesyuarat pipit biasanya suka mencelah dan memberi pendapat. Tapi malangnya pendapat dan celahannya selalu tidak dipedulikan dan tidak diberi perhatian. Kadang-kadang dia terpaksa mengulang dan meninggikan suara untuk mendapat perhatian dan peluang untuk bersuara. Ada juga kes ahli mesyuarat pipit terpaksa menghempas buku atau mengetuk meja akibat suara yang tenggelam. Ahli mesyuarat pipit biasanya tak suka ahli mesyuarat murai.

4. Singa
Ahli mesyuarat singa biasanya seorang yang berperawakan tegas dan dihormati/ditakuti ahli mesyuarat lain. Majoriti ahli mesyuarat singa adalah berpengalaman luas, berpengetahuan lengkap, memiliki jaringan kenalan yang hebat serta memiliki karisma yang menonjolkan dirinya. Apabila bersuara, dia mampu untuk menarik perhatian semua ahli mesyuarat lain dan mempengaruhi keputusan-keputusan penting dalam mesyuarat.

5. Beruang
Ahli mesyuarat ini biasanya baru lepas makan nasi lemak tambah, atau seronok berparti malam sebelum mesyuarat. Ini dapat dilihat melalui sifatnya yang sering berhibernasi dan menutup mata sepanjang mesyuarat. Yang kronik pula akan berdengkur atau terjatuhkan gelas/fail/diri sendiri ketika sedang diulit mimpi indah. Juga akan terkejut apabila ahli mesyuarat singa membuka mulut.

6. Monyet
Ahli mesyuarat monyet pula adalah mereka yang nakal dan gemar membuat lawak jenaka dan huru-hara dalam mesyuarat. Biasanya mereka bersifat happy go lucky dan berniat mahu menceriakan suasana mesyuarat yang maha bosan. Mereka jarang bersifat serius kecuali jika ditanya soalan atau ketika mereka dikehendaki membuat pembentangan. Selalunya mereka disukai oleh semua ahli mesyuarat lain kecuali jika membuat lawak bodoh.

7. Rusa
Ungkapan "Seperti rusa masuk kampung" amat menepati ahli mesyuarat ini. Dia biasanya akan terpinga-pinga dan membuat ekspresi blur dimukanya sepanjang mesyuarat. Majoriti ahli mesyuarat rusa adalah mereka yang pertama kali memasuki mesyuarat dan tidak faham tentang butir-butir perbincangan. Ada juga yang dipaksa masuk mesyuarat untuk mewakilkan orang lain tanpa sebarang persediaan. Apabila ditanya, mereka akan bersifat seperti ahli mesyuarat belatuk. Angguk-angguk kepala.


Korang ahli mesyuarat jenis apa?

No comments: