Wednesday, December 31, 2008

Azam Tahun Baru

Tahun baru tiba lagi. Malam ini akan penuh dengan pelbagai acara pesta lagu-lagu, pesta arak dan pelbagai macam acara lain yang menjanjikan wanita-wanita seksi, muzik bingit, pertunjukan bunga api berwarna-warni dan aku memenuhkan ruang memori kamera digital.

Setiap kali tiba bulan Disember, kita semua akan dengar atau ditanya satu soalan yang amat lah cliche dan tak dijemu diulang setiap tahun iaitu;


Apa azam tahun baru?


Pada aku, azam tahun baru adalah sesuatu yang lapuk. Pernah ke korang benar-benar berusaha memikirkan apa tujuan hidup dan perancangan untuk setahun akan datang? Aku lebih suka berfikir bukan untuk setahun, tapi lebih dari itu. Perancangan masa depan pada aku bukan sekadar setahun dua, mungkin menjangkau 20-30 tahun.

Kalau korang perasan, azam tahun baru sekadar ikut-ikutan dan dah menjadi trend. Memang budaya Melayu suka mengikut dan meniru. Kalau tak percaya cuba saja baca nukilan ini. Azam tahun baru sekadar sebutan di bibir yang tak pernah langsung melekat di hati. Atau bahasa mudahnya ialah NATO (No Action, Talk Only).

Kita mudah merasa malu jika tiada apa yang majoriti kumpulan kita ada. Kita malu jadi manusia yang ketinggalan benda-benda yang kita tak ada. Walaupun benda tu langsung tak penting pada kita. Dan mengapa mesti kita menunggu permulaan tahun baru untuk memperbaiki diri? Perbuatan yang baik tidak perlu menunggu tarikh 1 Januari untuk terjadi kan?

Kerana itu sehingga kini aku hanya pernah membuat satu sahaja azam tahun baru; iaitu aku berazam tidak akan membuat azam tahun baru. Dan aku berjaya laksanakan tanpa gagal sejak berbelas tahun lampau.

Tahniah kepada aku. (Sila tepuk tangan)

Azam-azam tahun baru yang selalu aku dengar pula biasanya sama macam filem Melayu. Cliche. Azam yang sama, niat yang sama dan hasil yang sama. Selalunya gagal.

Antara azam-azam tahun baru yang paling popular ialah;



1. Berhenti Merokok.

Aku yakin, hampir semua perokok pernah ada azam ini. Terfikir dengan duit yang susut dan keperluan atau kemahuan lain yang lebih memerlukan. Dalam fikiran dah mula mengira-ngira duit rokok yang berjaya dijimatkan untuk membeli sport rim baru, memiliki telefon bimbit berharga RM 3000 yang lengkap dengan pelbagai aplikasi yang takkan pernah digunakan atau percutian ke pantai idaman untuk menikmati pantai bersih dan mengusha wanita berbikini. Selalunya azam ini akan gagal sejam selepas ia dibuat.

2. Turunkan Berat Badan.

Setahu aku semua wanita akan buat azam ini walaupun badan dah nipis macam awek Popeye. Lelaki pun ramai yang akan buat azam ini dengan impian untuk memakai baju sendat berlogo Polo di dada kiri serta keyakinan untuk memikat gadis idaman. Ada sebilangan yang tak peduli saiz perut kerana tahu poket yang tebal akan menjamin gadis-gadis seksi berpaut di kiri kanan. Azam ini selalunya gagal selepas penat berparti malam tahun baru dan bangun lapar pada tenghari esoknya lalu menuju ke restoran mamak dan memesan nasi kandar 2 pinggan.

3. Kahwin.

Lelaki mungkin memasang azam ini selepas tak tahan di bebel oleh awek/tunang mereka yang takut akan menopause pada usia 25 tahun. Wanita pula memasang azam ini untuk membuktikan kepada kawan-kawan sekolah/universiti/ofis mereka bahawa mereka sudah laku dan berjaya mencapai status isteri. Mungkin juga untuk bersaing dengan kawan-kawan yang sudah berkahwin dan mencabar kawan-kawan yang belum ada teman lelaki pun. Azam ini kadang-kadang berjaya, dan ada juga yang gagal disebabkan faktor duit, curang dan lain-lain.

4. Habiskan Hutang.

Yang dah bekerja, mahu melangsaikan hutang PTPTN, hutang kereta, hutang rumah, hutang kawan-kawan, hutang kutu dan hutang personal loan. Yang masih belajar mahu langsaikan hutang belanja kawan-kawan, hutang beli komputer, hutang duit minyak motor kawan dan hutang buku teks. Berjaya atau tidak azam ini bergantung kepada keadaan kewangan masing-masing.

5. Bertaubat.

Azam nak berhenti minum arak. Nak berhenti seks bebas. Nak berhenti jadi rempit. Nak berhenti langgan pelacur. Nak berhenti tengok video porno. Nak mahirkan baca Quran. Nak jadi ahli masjid. Nak jadi seorang yang zuhud dan ukhrawi-oriented.



Ramai dah mencuba. Ada yang berjaya, ada yang tidak. Tepuk dada tanya selera....


Kepada semua pembaca,


SELAMAT TAHUN BARU 2009!
.

No comments: