Tuesday, October 14, 2008

Satu lagi Bukti Kedaifan Idea & Ketidakkreatifan

Aku tengah menggodek laman siber ni, tetiba terjumpa satu berita yang membuat aku rasa mual dan sedih pada masa yang sama.

Sebuah drama tempatan ala-ala HEROES yang diberi judul Klon Teja.

Baca artikel ni;

KISAH empat remaja yang mempunyai kuasa luar biasa dalam menjalani kehidupan seharian dipaparkan dalam drama bersiri baru, Klon Teja terbitan Tall Order Production Sdn. Bhd.

Mendengarkan jalan ceritanya jelas menunjukkan drama bersiri tersebut mempunyai persamaan dengan drama bersiri popular luar negara, Heroes yang digemari oleh jutaan peminat.

Mungkinkah pihak penerbitan sendiri sudah ketandusan idea sehingga merasakan ‘menciplak idea produksi luar lebih baik daripada menghasilkan sebuah cerita baru?

Penerbit drama bersiri tersebut, Hans Isaac berkata, syarikat produksinya tidak pernah terfikir untuk menciplak atau meniru drama bersiri popular tersebut.

Sebaliknya, idea yang tercetus adalah secara kebetulan kerana elemen superpower atau kuasa luar biasa merupakan subjek menarik untuk disajikan kepada khalayak.

“Saya sendiri merupakan peminat drama bersiri tersebut, jadi apabila saya mahu menerbitkan drama sendiri maka terlintas difikiran saya untuk melakukan drama sebegitu.

“Namun begitu, kalau ada yang mahu samakan Klon Teja dengan Heroes, maknanya kita berjaya menghasilkan sebuah drama yang lebih kurang sama dengan produksi luar,” jelasnya kepada media pada majlis pelancaran drama bersiri tersebut di ibu kota baru-baru ini.

Mengakui terdapat persamaan antara dua drama berkenan, terang Hans, suntikan elemen-elemen budaya tempatan bagaimanapun, akan membuatkan drama bersiri itu mempunyai nilai tersendiri.

Drama bersiri 26 episod itu bakal diarahkan oleh Khalid Shamsuri atau lebih dikenali dengan panggilan Arab.

Klon Teja memulakan penggambaran pada 11 Oktober lalu di sekitar dua lokasi utama iaitu Melaka dan Kuala Lumpur.

Apa yang menariknya juga, Klon Teja akan menampilkan wajah-wajah segar yang agak jarang kelihatan di layar kaca seperti Nazim Othman, Balkisyh, Ummi Nazeera dan Anding.

Sementara itu bagi pengarahnya, Arab pula, Klon Teja merupakan sebuah naskhah yang sarat dengan pengajaran dan sesuai untuk ditonton oleh semua lapisan umur.

Meskipun terdapat unsur-unsur magis dalam drama berkenaan, Khalid berharap, tidak ada pihak yang akan mempertikaikan jalan ceritanya.

“Kita hasilkan drama yang ada kuasa magis jadi saya harap penonton dapat menerimanya dengan baik. Ini merupakan satu drama ringan yang sesuai ditonton seisi keluarga. Saya mengharapkan tidak ada pihak yang akan memanipulasikan idea kreatif kami ini,” katanya penuh mengharap.

Bagi mendapatkan hasil yang baik dalam proses mencipta magis tersebut, Klon Teja juga tidak akan ketinggalan daripada dibantu oleh teknik Imej Penjanaan Komputer (CGI).

“Sekurang-kurangnya 15 hingga 20 peratus teknik CGI akan membantu produksi ini. Pada masa yang sama, akan ada juga efek-efek khas lain.

“Berhubung penggunaan teknik CGI, saya rasa ia tidak begitu sukar untuk dilaksanakan kerana kita ada mereka yang pakar di dalam bidang ini,” jelasnya.

Klon Teja mengisahkan perebutan kalung Teja yang dahulunya diwarisi oleh Tun Teja.

Kerana tamakkan kuasa yang ada pada kalung itu, ia sering menjadi perebutan sehingga kalung tersebut terbelah dua.

Dek kerana itu ramai warisnya mahu mencari kedua-dua kalung Teja tersebut untuk dicantumkan semula bagi mencungkil rahsia yang tersembunyi dan seterusnya menjadi manusia yang menyamai kuasa luar biasa dimiliki Hang Tuah.

Pertemuan dua keluarga yang memiliki kalung Teja telah menyebabkan sepasang adik-beradik daripada dua keluarga yang berketurunan Kesultanan Melayu Melaka mendapat kuasa luar biasa.

Petikan diambil dari sini.

Nah! Dah terbukti kan? Aku dah tulis dulu dalam nukilan ni.

Amacam?

No comments: